MENGGANDINGKAN dua figura popular, Shaheizy Sam dan Syamsul Yusof yang berjaya di lapangan masing-masing bukan satu hal yang mudah kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja dan waktu yang suntuk.
Jadi, sesi fotografi yang diadakan di rumah keluarga Syamsul di Taman Melawati itu berlangsung pada penghujung puasa empat hari selepas Syamsul dan keluarganya balik daripada menunaikan umrah selama 10 hari.
Suasana santai bertukar serius apabila kedua-dua jejaka yang kelihatan segak berbaju melayu rekaan pereka terkenal Salikin Sidek mula meluahkan pendapat dan berbicara mengenai topik mengenai populariti, cinta dan perkahwinan.
Sam dan Syamsul yang bersekolah di sekolah menengah yang sama iaitu Sekolah Menengah Taman Melawati, mengakui kadang-kala mereka cukup menyenangi populariti yang hadir, namun, ada masanya mereka terperangkap dengan populariti yang menggugat privasi diri.
“Orang mungkin lihat kami artis, mereka ada fantasi dalam minda mereka tentang kehidupan kami contohnya artis mesti bersosial, walhal kami berdua seorang yang pemalu dan hidup dalam dunia kami sendiri.
“Tetapi macam saya harus buang sifat malu itu untuk kerja kerana saya sedar saya tidak boleh terus mengasingkan diri untuk terus berjaya dalam bidang seni,” kata Sam sambil dipersetujui oleh Syamsul.
Selit Syamsul, dunia fantasi peminat tentang kehidupan artis yang hidup dalam dunia glamor setiap hari adalah salah kerana artis juga manusia biasa yang menjalani kehidupan yang normal.
“Kami macam orang biasa, ada kawan-kawan tetapi macam saya tidak ramai kawan artis sebaliknya kawan-kawan saya adalah saudara-mara saya dan juga pekerja produksi yang selalu bekerja dengan saya.
“Bukan saya takut kawan dengan artis tetapi sebab saya rasa saya tidak glamor macam mereka, jadi saya bimbang andai saya tidak boleh masuk dengan mereka,” tutur Syamsul yang lebih senang andai peminat menganggapnya sebagai rakan daripada idola.
Sama juga halnya dengan Sam, dia juga tidak merasakan dirinya glamor kerana ada juga yang masih tidak mengenali siapa dirinya. Malah, dia juga enggan dirinya dipuja tinggi melangit oleh peminatnya.
“Ada orang kenal, ada juga tidak kenal saya. Ada tempat saya akan diserbu peminat ada tempat, orang akan buat tidak kisah dengan saya. Jadi, saya tidak rasa saya popular atau glamor,” tutur Sam.
Bertemu janji dengan kekasih merupakan perkara paling mudah untuk orang biasa tetapi menjadi sukar buat Syamsul, apabila popularitinya memakan privasinya.
“Saya jarang keluar rumah sebab saya bimbang persepsi orang ramai. Kalau saya keluar di mana-mana orang pasti akan pandang siapa disebelah saya, kalau perempuan mesti mereka akan sangka itu kekasih saya walaupun saya hanya keluar dengan kawan saya sahaja. Jadi bermacam-macam fitnah boleh timbul.
“Kalau nak keluar dengan orang istimewa (kekasih) juga agak sukar. Sebenarnya banyak perkara yang saya ingin lakukan dengan kekasih sebagaimana pasangan kekasih yang lain. Contohnya, saya teringin membawa dia ke i-City, Shah Alam, tetapi memandangkan tempat itu ramai orang, mereka akan pandang dan mula berkata-kata. Nanti dia tidak selesa, saya pun tidak selesa,” jawab Syamsul yang rindu hidup bebas seperti zaman sebelum menjadi artis.
Sam pula tidak seperti Syamsul yang memikir banyak perkara, kata Sam dia tidak kisah mahu ke mana dan dengan siapa asalkan dia menjalani kehidupan seperti yang dimahukannya.
“Saya tidak kisah sangat, mana saya nak pergi saya pergi sahaja tanpa berfikir panjang. Tetapi disebabkan kesibukan kerja, masa saya lebih banyak dihabiskan di set penggambaran, kalau tidak pun saya hanya berehat di rumah kerana saya bukannya suka berjalan-jalan sangat,” balas Sam.
Tamat zaman bujang
Tahun ini Syamsul berusia 27 tahun manakala Sam pula berusia 29 tahun, jika melihat pada usia dan kestabilan kerjaya tidak ada masalahnya jika mereka mahu berumah tangga dengan kadar segera.
Syamsul mengakui dia mula terasa tua apabila usianya mencecah angka 25 tahun dan sejak kebelakangan ini dia sudah memikirkan masa depan serta bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya secepat mungkin.
“Dulu saya tidak rasa nak kahwin tetapi sekarang baru saya faham bila orang kata sudah sampai seru. Sekarang saya rasa saya sudah bersedia untuk berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
“Sebab apabila saya lihat hidup saya, saya sudah mempunyai kerjaya yang stabil tetapi saya masih rasa kosong. Kalau kahwin cepat pun bagus sebab dapat elakkan maksiat dan kehidupan lepas kahwin lebih terurus,” ungkapnya.
Ditanya sudahkan hatinya berpunya, tanpa berselindung Syamsul mengakui dia kini sedang mengenali hati budi seorang gadis berusia 19 tahun yang merupakan pelajar institusi swasta.
“Dia orang biasa bukannya artis, hubungan kami baru lima bulan. Setakat ini saya selesa dengannya. Keluarga saya tahu tentang kami tetapi saya belum membawanya jumpa ibu bapa saya lagi,” tuturnya.
Berlainan pula dengan Sam, dia menyasarkan usia 32 tahun merupakan waktu yang tepat untuknya mula berfikir soal memiliki keluarga sendiri.
“Saya hanya mencari gadis yang sempurna buat diri saya. Tetapi disebabkan kerja saya yang tidak tentu masa, susah untuk saya bercinta atau mempunyai isteri.
“Saya tidak sampai hati untuk meninggalkan isteri di rumah berhari-hari sebab saya kerja siang malam pagi petang. Jadi, untuk mengelakkan sebarang masalah lebih baik saya jangan kahwin dulu.
“Bila kerjaya, masa dan ekonomi saya benar-benar stabil, baru saya akan memikirkan soal perkahwinan. Sekarang ini pun masa untuk diri sendiri juga semakin terhad, macam mana saya mahu beri masa kepada orang lain,” luahnya.
Syamsul tunai umrah
Lebaran kali ini lebih bermakna buat Syamsul kerana dia dapat merasai pengalaman berpuasa di Mekah. Meskipun pemergian ke Mekah tahun ini bukannya yang pertama kali tetapi ujar Syamsul inilah pertama kali dia ke Mekah sebagai seorang lelaki dewasa.
“Pertama kali saya ke Mekah ikut ibu bapa saya adalah pada usia lima tahun, 10 dan 16 tahun, kiranya kali ini yang pertama sebagai lelaki dewasa.
“Rasa seronok sangat sebab saya jumpa ramai rakan artis di sana. Bila di sana rasa macam tidak mahu balik ke Malaysia, bimbang sebab iman nipis. Bila balik rasa rindu mahu ke sana semula,” tuturnya.
Bercerita mengenai raya, jelas Syamsul sama seperti tahun-tahun sebelumnya dia dan keluarga akan menyambut raya sebelah ayahnya terlebih dahulu di Selayang Baru kemudian melawat keluarga sebelah ibunya di Shah Alam, Selangor.
“Raya tahun ini kurang seronok sikit kerana ini pertama kali kami beraya tanpa datuk sebelah ibu. Sedih sikitlah.
“Selebihnya kami beraya yang lalu pula macam biasa. Persiapan raya pula, walaupun saya ini sudah berusia 27 tahun, tetapi bab baju raya masih diuruskan oleh ibu saya,” katanya sambil ketawa.
Sam raya di Sabah
Menurut Sam, raya tahun ini seperti biasa pada hari pertama dia akan beraya di rumah keluarganya di Kuala Lumpur.
Kemudian, buat pertama kalinya pada hari raya keempat, Sam dan seluruh keluarganya akan terbang ke Sabah untuk melawat kakaknya Zizie Ezette dan abang iparnya Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin.
“Beza sikit raya tahun ini, selain beraya di Sabah, tahun ini saya cuti panjang selepas penggambaran filem SAM yang baru saja selesai.
“Saya akan bercuti sehingga bulan November kerana sedang dalam proses untuk menerbit dan mengarahkan bersama sebuah filem aksi komedi yang belum ada tajuk di bawah syarikat kakak saya, 2121 Vision Pictures,” ucapnya.
Tahun ini juga Sam merancang untuk mengadakan rumah terbuka besar-besaran di Finas buat peminat yang sentiasa berada di belakang kejayaannya.
“Saya aktif di Facebook dan Twitter, di sana saya hanya boleh berbual dengan mereka tetapi tidak dapat berjumpa. Jadi, dengan kedatangan raya, saya akan membuat rumah terbuka khas untuk peminat, keluarga dan sahabat handai.
“Nanti di rumah terbuka itu, peminat yang ingin jumpa saya dan bergambar, bolehlah berbuat demikian, kiranya rumah terbuka itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih saya kepada peminat,” balasnya.
No comments:
Post a Comment