Reserve Bank of Australia (RBA)
Reserve Bank of Australia (RBA) 
 
MELBOURNE - Badan pencegah rasuah mendakwa Reserve Bank of Australia (RBA) menyembunyikan bukti rasuah oleh anak syarikat pencetak wangnya.

Tujuh bekas pekerja Securency International and Note Printing Australia (NPA) dan syarikat itu sendiri, didakwa merasuah pegawai asing untuk memperoleh kontrak mencetak wang bank, lapor Associated Press Australia.

Walaupun tiga pegawai RBA atau petugasnya sudahpun didakwa, bank pusat itu didakwa menyembunyikan bukti bayaran komisyen yang dibayar kepada orang tengah yang diupah oleh anak syarikat untuk memperoleh kontrak wang bank di Malaysia dan Nepal.

Pengarah Eksekutif Transparency International Australia Michael Ahrens berkata perbuatan RBA dalam kes ini dianggap "seolah-olah menutup perbuatan".

"Kami percaya mereka sepatutnya melaporkan sebarang bukti yang diperoleh," katanya pada siasatan parlimen di Canberra pada Rabu.

RBA dikritik kerana merujuk dakwaan itu kepada firma guaman sebelum polis.

Ahrens berkata kegagalan RBA merujuk kepada isu itu dengan segera kepada polis menambah buruk reputasi antarabangsa Australia.

"Kes-kes yang muncul di Australia bukan terpencil. Ia disebabkan kegagalan sistem (dan) kegagalan mengawal," katanya.- Bernama