PENYANYI yang popular menerusi lagu Awan Nano, Hafiz mengakui terkejut setelah mendapat berita disaman bekas pengurus pentas, Selasa lalu.
Menurut Hafiz, dia yang baru sahaja pulang dari Indonesia, telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan mengenai surat saman tersebut.
“Saya akui agak terkejut apabila dimaklumkan pihak pengurusan mengenai perkara ini sebaik tiba dari Indonesia.
“Buat masa ini saya juga sudah melantik seorang peguam dan saya serahkan kepada peguam saya untuk menyelesaikan kes ini,” jelasnya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa anjuran Astro, baru-baru ini.
Namun, tatkala diminta mengulas lanjut mengenai surat saman tersebut, Hafiz mengambil pendekatan untuk mengunci mulut dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk memberi sebarang kenyataan selepas ini.
“Saya rasa lebih baik tidak memberikan apa-apa kenyataan buat masa sekarang ini. Saya bimbang kenyataan saya disalah ertikan dan memberi masalah lain pula kepada saya,” katanya.
Saman selepas setahun
Nur Haniza Mohd Azhar, 25, memfailkan saman terhadap juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu, bagi menuntut ganti rugi lebih RM200,194 atas dakwaan Hafiz telah mencederakannya dalam satu insiden pada tahun lalu.
Haniza yang kini bertugas sebagai penasihat pemotoran, memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Boestaman Ahmad & Co di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen Sivil, pada 31 Julai lalu.
Menurut pernyataan tuntutannya, dakwa plaintif, pada 17 Mei tahun lalu, ketika sedang mengendalikan rancangan tersebut di Studio Filem Negara, Petaling Jaya, Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, telah datang meminta untuk berjumpa dengannya.
Plaintif bagaimanapun menolak permintaan tersebut kerana sedang bekerja, namun terus didesak oleh Hafiz yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan berkenaan.
Ketika sedang menuruni tangga studio plaintif mendakwa, beliau ditolak oleh defendan sehingga jatuh tersungkur dan kejadian tersebut turut disaksikan beberapa rakan sekerja plaintif.
Berikutan kejadian itu, plaintif mengalami kecederaan ligamen kaki kanan dan tidak bekerja selama sebulan.
Selain itu, plaintif telah kehilangan mata pencarian kerana telah disenaraihitamkan daripada bekerja dengan mana-mana rancangan terbitan Astro dan terpaksa bekerja di luar kemahirannya.
Plaintif turut mendakwa, terpaksa menanggung malu apabila insiden terbabit disiarkan dalam rancangan hiburan Melodi dan akhbar-akhbar tempatan.
Pada 25 Jun lalu, plaintif melalui peguamnya memohon defendan meminta maaf dan membayar ganti rugi, namun pemenang Anugerah Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-25 itu enggan berbuat demikian, malah menafikan ada mencederakan plaintif.
Adira jadi punca?
Mengimbas beberapa laporan akhbar tahun lalu, punca perselisihan faham yang terjadi adalah disebabkan naib juara Akademi Fantasia musim kelapan, Adira yang juga bekas kekasih Hafiz.
Diminta mengulas perhubungannya dengan Adira, Haniza berkata, ia ia perkara tidak masuk akal dan mengakui masih lagi menghubungi Adira atas dasar kerja.
“Baru kini saya mendapat kekuatan untuk memfailkan saman selepas mendapat nasihat daripada ahli keluarga dan kawan-kawan rapat,” katanya.
Sementara itu, Adira gagal dihubungi bagi mendapatkan komen lanjut mengenai kes saman ini.
No comments:
Post a Comment