PADA suatu ketika dulu namanya pernah menjadi fenomena dengan gelaran TsuMawi yang diberi banyak pihak lantaran populariti yang dicipta dalam sebuah program rancangan realiti nyanyian popular.
Kini, Juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi kembali menghangatkan industri seni tempatan dengan penghasilan album terbarunya berjudul Asma Ul Husna.
Album terbitan syarikat Arteffects Sdn. Bhd dan syarikat Mawi sendiri, MW Entertainment Sdn. Bhd menyaksikan penglibatannya sebagai penerbit bersama selain bekerjasama dengan penyanyi nasyid terkenal, Hafiz Hamidun.
Menurut Mawi, “kali ini, saya memberikan sepenuh perhatian terhadap proses rakaman yang bermula daripada peringkat penciptaan melodi sementara Hafiz banyak membantu dari segi proses menyiapkan album serta sentuhan lagu darinya banyak mencorak keseluruhan album ini."
“Saya turut berasa puas dapat mendendangkan Asma Ul-Husna kerana Hafiz memberikan kebebasan kepada saya bagaimana untuk mencorak sendiri vokal saya bagi memenuhi kehendak dan kesesuaian sesebuah lagu itu,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album itu di sini, baru-baru ini.
Album yang kini sudah berada di pasaran itu memuatkan sebanyak 10 buah lagu yang kesemuanya mempunyai 11 nama ALLAH yang dipecahkan menjadi sembilan melodi yang berlainan melengkapkan 99 nama ALLAH.
Istimewanya dalam album ini, lagu terakhir yang dimuatkan, mengandungi versi penuh Asma Ul-Husna dan Hafiz selaku composer telah mencipta satu melodi baru dan segar yang lain daripada biasa peminat pernah dengar sebelum ini.
Sementara itu, kejayaan jualan album ini dapat dilihat apabila sebanyak 5,000 unit album telah terjual sejak ianya dipasarkan pada minggu kedua Ramadan lalu. Selain sibuk dengan album baru, Mawi turut bergiat aktif sebagai pengarah dalam telemovie untuk raya berjudul Siapa Dapat Lisa yang akan disiarkan sempena sambutan Aidilfitri akan datang.
Bercakap mengenai persiapan rayanya yang pertama kali menyambut perayaan Aidilfitri sebagai seorang bapa, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 31, mengatakan, dia sangat teruja dengan kelahiran anaknya dan Syawal ini lebih bermakna dengan kehadiran puteri sulungnya itu.
Anaknya, Cahaya Malaika yang kini telah menginjak usia enam bulan menyerikan lagi rumah tangga yang dibina Mawi pada 20 Disember 2008 bersama isteri tercinta, Nora Asyikin Rahmat atau lebih dikenali sebagai Ekin.
“Kali ini, persiapan raya lebih tertumpu kepada si kecil, dulu beli baju raya untuk berdua saja, sekarang kena beli untuk si comel juga,” katanya dalam nada yang ceria.
Dalam pada itu, Mawi turut berpesan, dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, semua pihak perlu sentiasa menghayati maksud sebenar Aidilfitri itu sendiri dan sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam meraikan bulan Syawal yang bakal tiba ini.
No comments:
Post a Comment