Darius Majchrzak, 39, dan pasangannya, Samea Kubiak, 35, dituduh mencekik Paulina Starczewska sebelum menyembunyikan mayat mangsa lebih daripada satu dekad lalu.
Pasangan itu yang kini menetap di Midlands Barat hanya dikaitkan dengan kes pembunuhan yang belum selesai itu selepas Samea mengaku kepada polis ketika pihak berkuasa mengendalikan insiden keganasan rumahtangga di luar kediaman mereka.
Dia kemudian diterbangkan ke Belanda dan membawa polis negara itu ke lokasi di mana mayat Paulina ditanam di kawasan perkhemahan di Landsmeer di luar Amsterdam.
Samea mendakwa Majchrzak mencekik Paulina hingga mati selepas cuba menyerang kedua-dua wanita itu ekoran parti dadah.
Pasangan itu kemudian terus tinggal di kawasan perkhemahan berkenaan selama lima bulan walaupun mayat mangsa ditanam tidak jauh daripada karavan mereka.
Hakim di mahkamah magistret Westminster mengarahkan supaya Majchrzak dihantar pulang ke Belanda untuk menghadapi dakwaan membunuh dan bersubahat terhadap perbuatan menanam mayat tanpa prosedur yang sah.
Samea yang turut berdepan pertuduhan sama masih menunggu sama ada dia juga akan dihantar pulang. Pasangan itu meninggalkan kawasan perkhemahan berkenaan untuk pergi ke Perancis sejurus selepas pembunuhan itu yang berlaku pada awal 2000 sebelum menetap di Dudley enam tahun lalu.
Kedua-duanya ditahan Mei lalu selepas polis dihubungi ekoran kejadian pergaduhan di luar kediaman mereka. Samea pada awalnya dianggap sebagai saksi tetapi menjadi suspek selepas dia pulang ke Britain dan ditahan polis Midlands Barat atas permintaan pihak berkuasa Belanda.
Sambil mengarahkan supaya Majchrzak diekstradisi, hakim Michael Snow berkata: “Jelas sekali pihak berkuasa Belanda tidak tahu apa-apa mengenai pembunuhan Paulina hingga Samea melaporkannya kepada polis Mei lalu.
“Selepas polis Britain berhubung dengan pihak berkuasa Belanda, Samea pulang ke negara itu untuk mengenal pasti lokasi di mana mayat mangsa ditanam,” katanya. – DM
No comments:
Post a Comment