TEKA-TEKI mengenai siapakah pengganti Adlin Aman Ramli sebagai pengarah teater Tun Siti Hasmah telah pun diketahui apabila Eirma Fatima diumumkan bakal mengarah teater tersebut.
Namun, tidak sampai sebulan sahaja lagi teater itu bakal dipentaskan, pelakon utamanya, Erra Fazira mengakui masih belum menerima skrip daripada pihak produksi.
Mengakui belum membuat persediaan untuk naskhah ulung mantan wanita pertama negara itu, Erra tidak menafikan kerisauannya semasa pementasan tersebut.
“Saat diberitahu akan membawakan watak Tun Siti Hasmah, saya rasa benar-benar teruja dan gementar kerana bukan calangcalang watak yang diberikan kepada saya.
“Namun, apabila sehingga kini masih tidak mendapat skrip lagi, saya sendiri tidak membuat sebarang persediaan kecuali semasa pertemuan yang diatur bersama Tun.
“Ketika itu, sempatlah saya bertanyakan beberapa soalan bagi mendalami karakter sebenar Tun,” katanya yang ditemui semasa majlis berbuka puasa anjuran Astro di Royale Bintang Damansara, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Erra tidak menyalahkan Eirma kerana sedia maklum dengan status ‘bidan terjunnya’ sebagai pengarah teater tersebut.
“Kak Erma sendiri baru mendapat tahu perlu menggantikan Adlin untuk mengarah teater ini. Jadi, saya tidak salahkan dia kerana sudah tentunya sebagai pengarah, dia ingin menzahirkan sesuatu yang bagus.
“Biarpun sebagai pengganti, tentu Kak Eirma mahu berikan yang terbaik dan ambil masa buat persediaan,” katanya.
Bagaimanapun ketika ditanya, apakah dia akan menarik diri daripada teater tersebut, sambil tersenyum Erra berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain.
Menurutnya, mengenangkan teater itu merupakan projek rakan baiknya, Datin Paduka Umie Aida, jadi dia akan berpegang pada janji.
“Meskipun risau bagaimana untuk mementaskan teater ini, namun mengenangkan ini merupakan projek rakan baik, Erra akan berpegang pada janji. “Buat masa ini, tunggu sahajalah skrip daripada pihak produksi dan lihat apa yang boleh dilakukan,”katanya.
Teater Tun Siti Hasmah dijadualkan bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 30 Ogos sehingga 9 September ini.
No comments:
Post a Comment