SETELAH mengesahkan untuk tampil dalam segmen Doktor Cinta dan menyelesaikan masalah cinta yang dihadapi oleh peminatnya, pelakon filem Ombak Rindu, Aaron Aziz dihujani dengan pelbagai soalan cinta walaupun rancangan itu masih belum ke udara.
Segmen Doktor Cinta Aaron Aziz mula ke udara di radio Era FM bermula Jumaat ini (semalam) pukul 9 malam hingga 11 malam menerusi slot Meletop 40 Era bersama DJ Shac.
Melalui kiriman e-mel di aaronaziz@era.fm mahupun hashtag #DrCintaAaronAziz di laman sosial Twitter, Aaron kini ditebak dengan 1001 soalan yang berkisar masalah percintaan remaja mahu pun pergolakan rumah tangga.
Menurut Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran, pihaknya menerima terlalu banyak soalan yang ditujukan kepada Aaron mengenai masalah cinta dan rumah tangga walaupun segmen itu masih belum bermula.
“Di Twitter, Aaron sudah ditanya dengan pelbagai soalan, kami akan pilih soalan terbaik dahulu untuk disiarkan setiap minggu,” ujarnya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Era FM baru-baru ini.
Mengulas mengenai segmen itu, Nazri berkata, setiap minggu Aaron akan menjawab 10 soalan sahaja berdasarkan e-mel, Twitter dan panggilan telefon.
Berdasarkan pengalaman Aaron sebagai selebriti yang sudah berkeluarga, beliau percaya pelakon itu mempunyai kredibiliti untuk menjawab persoalan mengenai kisah cinta dan masalah rumah tangga.
“Dia (Aaron) juga menjaga keluarganya dengan baik walaupun sibuk sebagai pelakon. Sudah tentu dia ada banyak pengalaman, jadi kami percaya dia boleh menjawab soalan cinta peminatnya,” ujarnya.
Nazri turut menjelaskan, pemilihan Aaron sebagai doktor cinta juga adalah pilihan pelakon itu sendiri selepas pihaknya membuat perbincangan.
“Setelah berbincang untuk menempatkan Aaron dalam segmen yang mana satu, idea sebagai doktor cinta adalah daripada pelakon itu sendiri memandangkan dia sebelum ini banyak berinteraksi dengan peminat yang sering bertanya soalan cinta,” jelasnya.
Nazri kemudian mengakui, pemilihan Aaron diharap dapat mengekalkan stesen radio itu sebagai radio utama di negara ini, berdasarkan reputasi dan populariti Aaron.
Segmen Doktor Cinta Aaron Aziz itu dikendalikan oleh DJ Shac bersama Aaron sebagai jemputan menyelesaikan masalah cinta pemanggil selama sebulan terlebih dahulu.
“Kita akan tengok sebulan ini kalau segmen itu berjaya, Era FM akan ikat kontrak dengan Aaron selama setahun,” ujarnya.
Sementara itu, Aaron berkata tugasnya sepanjang slot tersebut cuma sebagai selebriti undangan yang berkongsi buah fikiran untuk menyelesaikan persoalan berkaitan masalah cinta.
“Saya bukan menjadi deejay pun, sekadar dijemput untuk memberikan pandangan terhadap sesuatu isu berkaitan cinta dan cuba menyelesaikan soalan yang diajukan pendengar,” katanya yang ditemui ketika majlis amal selebriti dan Rafflesia di Great Eastern Mall, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Aaron akan memulakan penggambaran filem Lari arahan Ahmad Idham bersama Dira Abu Zahar pada 17 September ini selain menanti tarikh tayangan beberapa filem lakonannya yang lain antaranya Ngorat, Kerat 14, KL Gangster 2, Dampak dan Prince Of The City.
Bagi DJ Shac pula yang mengendalikan slot Meletop 40 Era dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam, kehadiran Aaron bersamanya setiap Jumaat diharapkan dapat meningkatkan pendengar setia pada slot itu.
“Saya pernah bekerjasama dengan Aaron sebelum ini, jadi kami ada keserasian. Saya juga berharap kami tiada masalah untuk berinteraksi dengan pendengar apabila ke udara nanti,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment