nak menang iPhone 5S dan 5C? Klik banner dibawah ini :

15 Sept 2012

‘Hidup saya masih kosong’-Siti Elizad


EJAD...bintangi siri Lelaki Yang Dicintai.
JAUH di sudut hati, dia cemburu melihat semua teman sebayanya sudah berkahwin dan membina keluarga masing-masing. Itulah juga yang didambakan Siti Elizad (Ejad), 27, saat ini. Bukan terdesak untuk berkahwin, tapi naluri keibuannya yang begitu kuat kerana tidak sabar untuk memiliki cahaya mata daripada darah dagingnya sendiri.
Setiap kali ditemubual, topik jodoh dan anaklah yang tidak pernah lekang daripada bibir pelakon yang bakatnya digilap menerusi filem Berlari Ke Langit, Gangster, Bilut, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Cinta Nan Satu, Main-Main Cinta dan Rock ini. 

Bergelar anak perempuan tunggal daripada lima beradik yang semuanya lelaki, pasti hidupnya berasa kosong dan sunyi sejak pemergian insan yang paling rapat dalam hidupnya iaitu arwah ibunya, Nazariah Mohd Salleh, 62, dua tahun lalu.

“Maklumlah, adik-beradik saya semuanya lelaki dan semuanya sudah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Sejak pemergian mama, bapa dan adik-beradik lelaki memang sangat berharap saya segera bertemu jodoh supaya ada orang yang boleh menjaga sakit pening.

“Walaupun mempunyai ramai anak saudara yang bertambah setiap tahun, perasaannya tetap tidak sama jika kita memiliki anak kandung sendiri.

“Begitu juga bila orang suruh saya ambil anak angkat mengikut jejak rakan artis bujang di luar sana, pendirian saya tetap sama ingin memiliki cahaya mata sendiri sekurang-kurangnya seorang pun jadilah,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar, Siti Elizad Mohd Sharifudin yang pernah digosipkan dengan penyanyi Hattan ini, dia sudah bersedia untuk menempuh alam rumah tangga, cuma belum bertemu calon suami yang sesuai lagi. Jika artis muda lain ramai bertemu jodoh tahun ini, Ejad pula nampaknya belum bernasib baik dalam percintaan lagi.

“Saya baru saja putus cinta dan sudah kembali solo lagi sekarang. Jika bertemu calon yang sesuai, saya tak akan tunggu lama-lama dan ingin terus kahwin saja.
Kriteria calon suami pula mestilah romantik, menyayangi saya sepenuhnya dan beriman.

“Insya-Allah, buat masa ini, saya sibuk kumpul duit untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, tahun depan. Selain beribadah, saya juga ingin berdoa di depan Kaabah semoga bertemu jodoh yang baik yang mampu membimbing saya dunia dan akhirat,” katanya.

Ketika ditemui, Ejad yang buat ‘comeback’ selepas dua tahun menyepi memberitahu, dia baru selesai penggambaran drama bersiri Opah generasi baru, bulan lalu yang cukup popular di stesen RTM satu ketika dulu.

“Saya bawa watak pembantu yang juga isteri pada seorang peguam yang juga cucu Opah generasi yang rata-ratanya menampilkan wajah baru. Watak saya pula suri rumah yang suka bantu orang yang dalam kesusahan. Penggambaran babak saya pun banyak dibuat dalam rumah saja.

“Saya juga menjadi artis undangan dalam filem Mael Lambong arahan Ahmad Idham terbitan Excellent Pictures yang disiarkan di TV3. Selain itu, saya juga berlakon watak pembantu dalam drama bersiri Lelaki Yang Dicintai dengan menjadi adik kepada pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) dalam cerita ini.

“Ia juga menampilkan Dira Abu Zahar, Datuk Eizlan Yusuf dan Eja. Tidak ketinggalan, ada dua hingga tiga tawaran berlakon, tapi saya perlu meneliti skripnya terlebih dulu,” katanya.

Ditanya sama ada pelakon yang digilap dari layar lebar sepertinya tidak kisah berlakon drama, Ejad akui drama dan filem ada cabaran dan pengalaman yang berbeza.

“Saya tak kisah watak pembantu atau sekadar artis undangan saja kerana
setiap watak memainkan peranan tersendiri dalam membantu sesebuah jalan cerita itu.

“Ada juga watak pembantu yang memberi kesan mendalam pada penonton atau orang ingat sampai bila-bila. Sebagai pelakon, tanggungjawab saya hanya melakonkan watak itu sebaik mungkin,” katanya.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah teraju utama Slot Akasia di TV3, Cinta Antara kita, drama bersiri Adnan Sempit The Series, telefilem komedi Bersalji Di Kuala Lumpur dan telefilem Jamilah I Love You.


Ejad impi jadi pereka fesyen terkenal

BUKAN saja berbakat dalam bidang lakonan, ada sisi lain Ejad yang pasti ramai orang tidak tahu iaitu dia juga memiliki sentuhan dalam bidang rekaan fesyen.
Pada peringkat awal, Ejad minat menjahit baju bagi mengubat rasa sunyi dan bosan apabila tidak terbabit dengan penggambaran, kini tidak lagi.

“Jika nak diikutkan, saya memang sudah lama meminati bidang rekaan fesyen kerana suka nampak cantik dan bergaya depan kamera. Pada masa sama, sebagai artis, kita perlu pastikan aspek penampilan sentiasa dititikberatkan.

“Cuma baru sekarang minat dalam bidang rekaan fesyen dapat direalisasikan.
Sebelum ini, masa saya banyak dihabiskan di lokasi sebab itu saya tiada masa untuk buat apa yang saya minat.

“Jangan tak percaya, walaupun sudah bergelar selebriti, arwah mama tetap menjahit baju kurung atau baju Melayu kami adik beradik setiap kali tibanya hari raya. Arwah mama memang pandai menjahit bukan saja baju, malah langsir yang selalu ditukar untuk nampak berseri pada hari raya,” katanya.

Bagi membuktikan dia bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, Ejad juga memberanikan diri mengikuti kelas jahitan dan rekaan fesyen yang beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kursus jangka pendek itu mengambil tempoh selama lima bulan. Menjadikan pereka fesyen terkenal Zery Zamry dan Salikin Sidek sebagai sumber inspirasi, Ejad mengakui dia tidak kisah bermula dari bawah demi mengejar cita-cita dan impian menjadi pereka fesyen pula satu hari nanti.

“Setakat ini, saya baru mempelajari asas dan teknik yang betul dalam bidang jahitan yang juga kemahiran diperlukan untuk menjadi pereka fesyen. Ia tidak terhad kepada baju kurung tradisional dan moden sebaliknya jubah, skirt dan sebagainya lagi. Jika semuanya berjalan lancar, saya merancang untuk tampil dengan koleksi baju sendiri nanti,” katanya.

-hmetro


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...