PENYATUAN atas nama muzik tidak cukup untuk menterjemahkan likat emosi dalam darah tiga figura bernama Datuk Ahmad Nawab, Datuk Khatijah Ibrahim dan Jamal Abdillah. Ikatan antara komposer dan penyanyi sahaja tidak mampu menampung limpah kasih sayang mereka bertiga.
Hubungan profesional yang terbina antara Ahmad Nawab, Khadijah (Kathy) dan Jamal mengalir seiring sehingga membentuk status persaudaraan. Lebih besar lagi Ahmad Nawab ibarat bapa kepada segala mentor buat Kathy dan Jamal.
Perjalanan muzik mereka saling berkait, daripada seorang komposer yang menghasilkan artis rakaman terbaik negara, nama Kathy dan Jamal pula antara yang masih meneruskan legasi emas. Buat julung-julung kalinya untuk sebuah konsert mega, tiga insan seni itu bergabung atas judul Konsert Gemilang Malaysia.
Mereka akan bertandang di Kuantan, Singapura dan Kuala Lumpur bermula 29 September hingga 13 Oktober. Selain melodi indah dan pengisian penuh sari sesebuah konsert, penonton juga diajak untuk berkongsi momen manis yang pernah mereka lalui.
Ceritakan pertemuan pertama kalian.
AHMAD NAWAB (AN): Saya bertemu Kathy pada tahun 1979 sewaktu itu dia baru berusia 15 tahun dan belum bersedia menjadi penyanyi. Kemudian kami bertemu sewaktu dia berusia 18 tahun dan tidak pernah uji bakat, terus melalui rakaman. Saya dapat usul daripada pihak Warner Music dan melihat latar belakang Kathy yang berdarah seni, saya tahu nyanyian mengalir dalam darahnya. Dia tidak pernah masuk studio waktu itu. Kali pertama jumpa Jamal pula masa pertandingan akhir Bintang RTM 1979, saya jadi juri dan dia menang malam itu. Sebelum dia menang, ada orang kata auditorium akan pecah jika Jamal tak menang. Malam itu juga saya tanya dia kenapa dia pilih untuk ambil kontrak dengan Warner, dia kata dia pilih Warner sebab saya (bekerja dengan Warner). Masa itu saya tak tahu Jamal ada hati dekat Kathy.
KHADIJAH IBRAHIM (KI): Masa kali pertama nak rakam lagu dengan Abang Mad (panggilan untuk Ahmad Nawab), dia suruh saya nyanyi lagu dangdut, punyalah susah. Dia pernah marah saya sampai terkeluar perkataan 'bodoh.' Masa jumpa untuk rakaman, dia mengamuk sebab sampai-sampai kat tempat yang dijanjikan, saya baru tengah nak makan. Dia orang yang sangat terurus dari segala segi, pakaian dan terutama sekali disiplin tentang masa. Dengan Jamal, kami jumpa di rumah arwah kakak saya di Gombak, kebetulan dia juga baik dengan arwah abang saya. Dahulu Jamal peminat saya dan ketika itu saya tahu dia sedang masuk Bintang RTM.
JAMAL ABDILLAH (JA): Sebelum masuk Bintang RTM lagi saya dah tahu Abang Mad memang dah cipta nama-nama besar macam Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid dan Hail Amir. Masa masuk Bintang RTM, saya bawa lagu Ahmad Nawab, Janjimu masa separuh akhir, Lancang Kuning dan Kusangka Siang Kiranya Malam. Bila ada syarikat tawarkan kontrak rakaman, saya pilih tempat yang ada Ahmad Nawab. Memang saya target, kalau jadi penyanyi orang-orang itu yang akan bimbing saya. Masa pertama kali jumpa Abang Mad juga, saya rasa dia seorang sangat romantik, dalam studio dia dahulu ada ramai wanita.
AHMAD NAWAB (AN): Jadi komposer kenalah romantik. Macam mana nak buat lebih 2,000 lagu tanpa ilham. Ilham melodi itu datangnya daripada wanita. Muzik itu bunga dan bunga itu wanita.
Bagaimana keserasian terbentuk selepas itu?
AN: Jamal tak ada masalah dalam bab nyanyian, masalahnya cuma, susah nak jaga. Dahulu dia manusia yang takut wanita, saya kena pegang dan bawa dia lari kalau diserbu dengan (peminat) wanita.
KI: Saya selalu sayangkan Jamal. Tak kiralah bagaimana perjalanan yang dia lalui, sayang tak semestinya cinta. Saya tahu Jamal suka kuih tat nanas air tangan saya tapi sayangnya susah nak jumpa Jamal sebab dia superstar. Saya tidak pernah marah pun kalau Jamal lambat. Dengan Abang Mad, selalu letakkan setinggi-tinggi penghormatan buat dia. Kami rapat macam keluarga. Kami dirahmati kerana selalu dapat bersama dan akan datang, ada rancangan untuk kami bersatu lagi dalam sebuah album
JA: Saya orang yang sangat beruntung kerana berada di kalangan biduan-biduan hebat negara dan sampai hari ini, setelah 33 tahun, saya masih bersama Abang Mad.
Ahmad Nawab dianggap komposer yang mempunyai sentuhan ajaib sehingga apa sahaja yang dipegangnya menjadi. Apa cabaran menjadi anak didik Ahmad Nawab?
KI: Dia seorang yang tegas dan sangat berdisiplin.
JA: Dia bekalkan disiplin dan ilmu asas dalam diri kita.
Datuk, apa pula kriteria untuk memilih anak didik?
AN: Pertama sekali penyanyi itu kena ada identiti sendiri. Saya tak buat lagu untuk sembarangan penyanyi atau penyanyi yang cuba-cuba mahu jadi klon penyanyi lain. Lagu untuk Jamal tak boleh jadi lagu untuk Kathy. Sebab itu bila orang cakap pasal artis nombor satu atau dua, bagi saya cuma ada dua orang penyanyi, penyanyi perempuan nombor iaitu Kathy, penyanyi lelaki nombor satu, Jamal. Mereka lahir sebagai penyanyi.
Pada pandangan mata kalian, apa perbezaan balada dahulu dan sekarang?
AN: Memang banyak beza, balada zaman sekarang kurang sikit dalam menyampaikan rasa Melayu. Balada sekarang banyak nak menjadi Amerika. Saya pernah pertahankan rasa Melayu itu semasa buat lagu untuk Broery Marantika. Apa yang Jamal dan Kathy sampaikan itulah balada Melayu, sekarang ramai yang cuba nak tukar sana sini. Tahun 1960-an dahulu saya buat album jazz untuk Saloma, masa itu jazz tak diterima.
KI: Kalau di Amerika sekalipun, genre muzik yang capai jualan terbesar masih milik genre country. Sebabnya, itu irama asli di sana. Begitu juga dengan balada yang dicipta oleh Ahmad Nawab. Semoden mana pun kita, lagu Melayu tetap sedap didengar.
JA: Rentak balada hari ini lebih kepada eksperimental kreativiti muzik itu sendiri. Macam-macam elemen nak dimasukkan sampai jadi tak real, tak macam kami buat lagu zaman analog dulu.
Apa pula beza komposer dahulu dan sekarang?
KI: Saya tak pandang rendah kepada komposer-komposer baharu tetapi keghairahan penciptaan lagu untuk cecah taraf antarabangsa menjadikan segelintir komposer hari ini seperti terlalu mencuba.
JA: Saya juga kerja dengan ramai komposer lain tapi kerana penerapan nilai disiplin oleh Abang Mad dahulu, kerja-kerja saya dengan komposer lain seperti A. Atan, Manan Ngah, Fauzi Marzuki atau sesiapa sahaja menjadi lebih mudah. Asas daripada Abang Mad buat saya boleh kawal situasi, sampaikan bila masa sepatutnya saya kena minum air pun dia cakap. Kerja dengan Abang Mad, kadang-kadang kita datang ke piano baru dapat lagu, kemudian lirik.
AN: Masa kami rakamkan lagu Seniman Menangis, saya paksa Jamal nyanyi hingga empat oktaf, penyanyi lain hanya boleh buat sampai tiga oktaf sahaja. Itu level yang paling tinggi penyanyi lelaki Malaysia boleh buat.
Apabila digandingkan semula dalam satu suasana dan pentas, apa harapan dan keyakinan kalian?
KI: Rasanya kami bertiga sudah mantap tapi semuanya bergantung kepada promosi. Kami lakukan ini semua untuk industri, setidak-tidaknya beri semangat kepada penyanyi generasi muda untuk terus buat konsert. Kalau ikutkan, kami tak perlu beria-ria lagu buat promosi tapi bila bersabit dengan konsert besar, kami kena buat betul-betul. Di Singapura, tiada masalah. Kuantan tempat asing buat kami tapi kalau cukup promosi, harap menjadi.
JA: Di Kuantan, kita ada tetamu khas dari istana. Saya akan nyanyikan lagu Simfoni Sepi yang liriknya ditulis oleh Sultan Pahang sendiri.
AN: Harap konsert ini akan jadi show of year buat kami. Di Kuantan juga, Kathy pula akan menyanyikan lagu Lahirnya Seorang Putera. Dua lagu itu tidak akan dinyanyikan di tempat lain.
JA: Ini akan jadi satu legasi peninggalan kami untuk zaman-berzaman. Kami akan buat yang terbaik.
Antara lagu-lagu Ahmad Nawab, yang mana paling dekat di hati?
KI: Saya pilih Ku Sangka Siang Kiranya Malam. Itu lagu hits saya yang pertama, masa saya umur 18 tahun lagi. Sejak itu ke mana pergi pun itu lagu wajib saya.
JA: Semua lagu saya dengan beliau jadi hits.
-kosmo
No comments:
Post a Comment