PETALING JAYA: Pengenalan (intro) lagu Teman Pengganti nyanyian Black bersama Mallique yang popular ketika ini adalah ilham yang dicedok daripada melodi lagu nyanyian Noorkumalasari iaitu Hati Seorang Kekasih yang pernah popular pada tahun 80-an.
Perkara itu menjadi buah mulut segelintir pihak kononnya populariti lagu tersebut adalah disebabkan kehebatan melodi nyanyian Noorkumalasari yang merupakan bintang popular suatu ketika dahulu.
Malah ada yang berkata tindakan Mallique selaku komposer lagu Teman Penggantidikatakan tidak profesional apabila dia diberitakan tidak meminta kebenaran daripada pemegang hak cipta asal lagu tersebut iaitu Warner Music (M) Sdn Bhd.
Bagaimanapun Pengurus A&R Warner Music (M), Mokhtaza Ahmad yang dihubungi bagi mengulas perkara tersebut berkata, komposer berkenaan tidak melakukan kesalahan kerana lagu yang dikatakan ‘dicedok’ itu mematuhi melebihi kiraan tertentu iaitu tidak melebihi lapan bar.
"Jika sesebuah lagu yang sama melodinya dengan lagu asal diambil melebihi lapan bar, barulah ia menjadi kesalahan dan pemegang hak cipta sesebuah lagu boleh ambil tindakan mahkamah.
"Dalam hal ini, kod pengenalan (intro) lagu Teman Pengganti yang diambil berdasarkan melodi Hati Seorang Kekasih bukanlah satu kesalahan.
"Lebih-lebih lagi apabila penggunaan kod muzik yang sama, ia tidak perlu menjadi satu 'perbalahan'. Melainkan keseluruhan melodi dalam sesebuah lagu baru itu sama," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Beliau diminta mengulas rungutan beberapa pihak yang mengatakan lagu terbaru nyanyian Black itu mempunyai persamaan dengan lagu Norkomulasari yang popular pada era 80-an.
Tambah Mokhtaza, persamaan irama kod muzik pada kebanyakan lagu adalah satu perkara normal memandangkan nota muzik hanya ada 12 jenis sahaja.
"Di mana-mana sekalipun, kod muzik tidak banyak yang boleh diubah. Paling tidak, ia akan digunakan semula sedikit dengan kod lain.
"Dan perlu diingat, sudah beratus tahun muzik ada dalam masyarakat, banyak lagu telah didedahkan.
"Sekiranya terdapat sedikit unsur sama muziknya, itu normal. Rasanya ia bukanlah satu 'trend' untuk tiru lagu-lagu yang sedia ada kerana kebanyakan mainan muzik itu satu pengulangan," tegasnya.
Dalam pada itu, Mokhtaza berharap, selepas ini, pihak yang menilai mengenai hal peniruan lagu lebih memahami tentang konteks dan undang-undang muzik.
"Bagi pihak-pihak tertentu yang mahu mengambil tindakan tentang isu ciplak , kaji dahulu lagu tersebut kerana setakat ini negara kita adil dalam hal undang-undang muzik," ujarnya
-mStar
No comments:
Post a Comment