PETALING JAYA: Ketidakhadiran penyampai Suria FM, Reza Mohamed mengendalikan segmen Menu Ceria Suria pada Selasa dan Jumaat lalu secara mengejut bukan berpunca daripada masalah disiplin.
Sebaliknya, Ketua Bahagian Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, Reza atau nama sebenarnya Syaiful Reza Mohamed, 34, tidak datang bertugas kerana mengalami demam pada hari berkenaan dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan stesen radio berkenaan.
“Dia (Reza) demam pada hari berkenaan. Bukankah ia perkara biasa kalau seseorang dilanda demam?
“Takkanlah dia hendak datang bertugas kalau tidak sihat? Kita bukannya akan sentiasa sihat dan tidak jatuh sakit,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.
Ditanya adakah ketidakhadiran Reza dipengaruhi komitmennya dengan teater Rugabadiyang sedang dipentaskan di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka, Adiwati berkata, penglibatan deejay tersebut dalam pementasan itu tidak memberikan kesan terhadap tanggungjawabnya sebagai penyampai radio.
“Perkara ini (tidak bertugas) tiada kena-mengena dengan masalah disiplin atau komitmen lain. Setakat ini, dia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada kerja,” katanya.
Dalam pada itu, Reza yang cuba dihubungi pada petang Khamis enggan ditemu bual dengan alasan dia sedang sibuk sehingga tengah malam.
Bekas penyampai Era FM itu menyertai Suria FM pada Ogos lalu bagi mengendalikan segmen Menu Ceria Suria pada pukul 10 pagi hingga 1 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.
-mStar
No comments:
Post a Comment