nak menang iPhone 5S dan 5C? Klik banner dibawah ini :

8 Sept 2011

Azad & Eira Syazira Nikah Bukan Mahu Balas Dendam


Eira Syazira dan Azad Jasmin
PETALING JAYA: Pelakon Azad Jasmin, 35, menjelaskan pernikahannya dengan Eira Syazira yang bakal berlangsung pada 16 September ini bukan mahu membalas dendam terhadap bekas kekasihnya pelakon Faezah Elai yang melangsungkan pernikahan seminggu lebih awal daripada tarikh tersebut.
Faezah dan pengarah drama Heykal Hanafiah akan bernikah pada Jumaat ini di Pulau Pinang.
Ezad berkata, tarikh pernikahannya dengan pelakon Eira Syazira telah ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan yang secara kebetulan berlangsung dalam bulan yang sama dengan pernikahan Faezah Elai.
"Pernikahan saya tidak ada kena mengena dengan dia (Faezah). Soal tarikh dan hal-hal perkahwinan telah kami serahkan kepada keluarga untuk tentukan kerana mereka lebih tahu mengenai urusan nikah kahwin," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Sebelum ini timbul kontroversi melibatkan Azad dan Faezah yang didakwa mempunyai hubungan cinta. Selain itu Azad didakwa bertanggungjawab menyebarkan gosip hubungan Faezah dengan Heykal sehingga melibatkan kes mahkamah yang masih belum selesai.
Ketika ditanya adakah pertikaian antara mereka telah selesai selepas kedua-duanya bakal mendirikan perkahwinan, Azad enggan mengulas mengenai perkara itu dan menyerahkannya peguam untuk menyelesaikan masalah terbabit.
"Saya tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu kerana peguam telah mengarahkan saya untuk berdiam diri bagi mengelakkan masalah lain timbul," ujarnya tegas.
Dia turut memberitahu tidak akan menjemput Faezah ke majlis perkahwinanya kerana masih kecewa dengan kontroversi yang melanda di antara mereka.
"Saya tidak akan menjemput dia atau sesiapa sahaja daripada keluarganya kerana masih kecewa dengan kontroversi yang melanda. Lagipun saya tidak nampak apa keperluan saya dan Eira untuk menjemput dia ke majlis perkahwinan kami," katanya.
Dalam pada itu, Azad berkata, dia sudah bersedia untuk bergelar suami kepada Eira dan memberitahu persiapan telah hampir siap dilakukan.
"Selepas mengenali Eira tiga tahun lalu saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengannya tetapi faktor kewangan dan komitmen terhadap kerja menjadi penghalang ketika itu," katanya.
Sementara itu, Eira yang popular dengan drama “Kemboja Putih” dan “Cinta Balkis” berkata, mereka sebenarnya merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan tetapi atas permintaan keluarga, ia terpaksa dipercepatkan pada tahun ini.
"Restu daripada keluarga adalah yang paling penting, cepat atau lambat jodoh saya dan Azad telah tiba. Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal selain sedikit berdebar," ujarnya.
Eira turut memberitahu, majlis pernikahannya turut mendapat beberapa tajaan termasuklah daripada Hairi Tajuddin dan Wanpa untuk baju persalinan ketika akad nikah dan pelamin.
"Bagaimanapun konsep dan tema untuk majlis resepsi belah perempuan masih dalam perbincangan manakala belah Azad akan bertemakan Bollywood tajaan daripada Jalinan Kasih," katanya.
Masih belum menetapkan tarikh sebenar majlis resepsinya di Kuala Lumpur, Eira memberitahu kemungkinan ia akan diadakan pada 19 November manakala pihak lelaki pada 26 November 2011.
Pasangan ini juga bakal berbulan madu di Turki dan Indonesia atas tajaan daripada Foto Travel Agency selepas pernikahan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...