“Saya mempelajari agama disebabkan ia kewajipan saya sebagai seorang Islam kerana mungkin sebelum ini saya lalai, tetapi itu bukan bermakna saya hendak menyertai parti politik,” kata penyanyi terkenal, Adam AF selepas timbul spekulasi dia bakal menyertai sebuah parti politik berikutan perubahannya yang kini mendalami Islam.
Adam atau nama sebenar, Mohd Aizam Mat Saman, 28, berkata, spekulasi itu mungkin timbul selepas gambarnya yang memakai jubah dan berkopiah tersebar di laman sosial.
“Baru-baru ini saya mengikuti tazkirah di masjid di kampung saya di Sabah dan ada orang yang mahu bergambar dengan saya. Saya tidak mempunyai masalah untuk bergambar cuma apabila disebarkan di laman sosial, ia menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga mengaitkan saya kononnya mahu menyertai parti politik.
“Saya tegaskan, saya tidak mempunyai kecenderungan menyertai mana-mana parti politik kerana perubahan yang saya alami sekarang semata-mata daripada hidayah Allah kepada saya,” katanya, semalam.
Adam berkata, Allah memberi hidayah supaya dia memperbaiki diri, bukan untuk menyertai mana-mana parti politik.
Sehubungan itu, dia meminta spekulasi itu dihentikan kerana memberi banyak kesan kepada dirinya. Mengenai perubahan dilaluinya, Adam berkata, kesedaran bermula ketika dia menunaikan umrah bersama pelakon, Ashraf Muslim tahun lalu dan dipertemukan dengan seorang haji berusia 22 tahun di Makkah.
“Saya masih lagi dengan karier nyanyian dan terbabit dalam bidang lakonan kerana ia adalah mata pencarian saya setakat ini. Kalau perlu menari, saya akan menari cuma tidak berlebihan.
“Saya sedang memperbaiki diri dengan melaksanakan semua perintah Allah dan masih bergantung kepada bidang nyanyian sebagai sumber rezeki,” katanya.
Adam berkata, dia gembira dengan penghijrahan ramai artis sekarang, cuma baginya seseorang itu tidak boleh terlalu cepat mengisytiharkan dia berhijrah, tetapi masih belum mengenali diri sendiri.
“Kita kenal diri sendiri, kenal Allah dan seterusnya seseorang itu mengikut perjalanan dakwah Rasulullah SAW. Seseorang yang mengikuti perjalanan itu tidak akan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakiti hati orang lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment