Memiliki sikap ceria dan menghiburkan, tidak hairanlah penyanyi dan pelakon kecil molek, Amy Mastura sentiasa disenangi sesiapa sahaja yang mendampinginya. Tidak dinafikan, sikap keterbukaan yang ada dalam dirinya telah memberi kesan positif terhadap kecantikan wajah yang dimiliki, walaupun usianya kini sudah mencecah 41 tahun.
Kelebihan itu bagaimanapun telah memberi kelebihan buat dirinya kerana sering dilamar menjadi duta jenama produk seperti Takasima, Lifebuoy, Quaker Oats dan tidak ketinggalan, produk kecantikan Kose.
Minggu lalu, Kose telah melancarkan kempen terbarunya, Kose Save The Blue yang prihatin terhadap penanaman semula hidupan dasar laut dan terumbu karang di Pulau Tioman serta Langkawi.
"Pihak Kose telah bersetuju untuk menyalurkan keuntungan daripada penjualan beberapa produk ke dalam kempen ini. Projek ini adakan dilakukan selama enam bulan dan sekiranya respons yang diterima memberangsangkan, mungkin projek ini akan dipanjangkan," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran kempen Kose Save The Blue di pusat membeli-belah Mid Valley.
Berkongsi pengalaman menyertai lawatan ke Pulau Okinawa, Jepun awal tahun lalu, ibu kepada dua orang puteri, Adriana, 11, dan Adalia, 7, ini mengakui teruja melihat sendiri penanaman semula terumbu karang yang dijalankan di sana.
"Saya kagum dengan usaha dan kesungguhan yang dilakukan mereka dalam memelihara tumbuhan itu daripada terus pupus dan saya berharap perkara yang sama akan berlaku di negara kita.
"Apa yang lebih membuatkan saya terkejut, masyarakat di sana begitu menghormati keadaan pantai mereka sehingga tidak akan memijak dasar pantainya kerana mahu memelihara terumbu karang yang ditanam," katanya.
Teruja anak belajar puasa
Ramadan bulan mulia yang sering dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia dan pastinya setiap individu melakukan pelbagai persiapan untuk menjalani bulan penuh keberkatan itu. Tidak terkecuali pelakon dan penyanyi kecil molek ini.
Amy mengatakan, Ramadan kali ini lebih istimewa memandangkan puteri keduanya, Adalia turut berpuasa buat kali pertamanya. Teruja dengan perkara itu, Amy bagaimanapun mengakui perlu lebih bersedia dari segi kekuatan mental dalam mendidik kedua buah hati kesayangannya dalam menjalani ibadah puasa bersama.
"Rutin menjalani bulan puasa sama seperti tahun-tahun sebelumnya, saya akan bangun sediakan sahur untuk anak-anak dan suami walaupun sejak bujang lagi, saya bukanlah jenis orang yang bangun sahur.
"Untuk berbuka pula, saya akan masak makanan yang ringkas dan kami juga tidak terlepas daripada membeli makanan di bazar Ramadan. Antara menu kegemaran kami sekeluarga adalah martabak. Mujurlah anak-anak dan suami jenis yang tidak memilih juadah makanan," katanya sambil tersenyum.
Menyentuh tentang kariernya sempena Ramadan ini, Amy mengakui dirinya telah mengurangkan segala aktiviti berkaitan kerjayanya itu.
"Setiap tahun saya akan kurangkan aktiviti lakonan mahu pun nyanyian kerana ingin beri sepenuh perhatian kepada keluarga. Lagipun, anak-anak masih kecil dan baru berjinak-jinak mahu belajar puasa. Jadi saya perlu luangkan masa bersama mereka untuk jalani ibadah puasa dengan lebih sempurna," katanya.
Aktif berlakon, mengacara
Berbicara mengenai perkembangan terbarunya, Amy mengatakan dirinya baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah drama, Hantu Susu 2 dan Dalam Hati Ada Taman.
"Alhamdulillah, rezeki dalam bidang lakonan masih lagi menyebelahi saya. Walaupun tidak begitu banyak, namun ia masih beri kepuasan buat diri saya. Selain lakonan, saya juga ada menerima tawaran pengacaraan game show yang berjudul Onyo Mak Geset GO yang bakal di tayangkan di saluran Astro," katanya.
Menyentuh tentang karier nyanyian pula, Amy turut mengatakan dirinya bakal menyusul dengan single terbaru ciptaan Panji berjudul Itu Dulu yang akan dikeluarkan Ogos ini.
No comments:
Post a Comment