Kamal Adli
Kamal Adli 
 
Aktor, Kamal Adli mengakui tidak mengambil pusing dengan kata-kata sesetengah pihak yang melabelkan dia sebagai anak emas kepada Ahmad Idham.

Ini berikutan kebanyakan tawaran lakonan Kamal sejak akhir-akhir ini datangnya dari pengarah prolifik itu. Selepas Gerimis Mengundang -filem dan teater, Kamal menjadi pilihan Idham untuk membintangi drama Ape Celop dan kini Gangster Celop.

"Saya sedikit pun tidak berkecil hati bila orang kata saya anak emas Idham. Tapi harus saya akui, abang Idham banyak membantu menaikkan nama saya.

"Malah, apabila tawaran itu datangnya dari abang Idham, sukar untuk saya menolak dan saya tidak pernah bertanya mengenai bayaran yang akan saya terima kerana saya percaya pada dia," ujar Kamal.

Namun, dalam masa yang sama, Kamal mengakui sedikit kecewa apabila jarang menerima tawaran berlakon daripada pengarah-pengarah lain.

"Bukan berniat untuk lari daripada abang Idham, tapi ada ketikanya saya teringin untuk menimba pengalaman dan merasai bekerja di bawah pengarah lain," jelasnya.

Sementara itu, Kamal kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Gangster Celop terbitan Skop Productions dan Excellent Pictures.

Selain Kamal, filem yang menelan belanja sebanyak RM1.7 juta itu turut dibarisi pelakon Syamsul Yusof, Hanis Zalikha, Azad Jazmin dan Reen Rahim.