Rusdi Ramli dan Zizan Nin dalam filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Tanda Putera.
 
Rusdi Ramli dan Zizan Nin dalam filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Tanda Putera.
Bukan mudah untuk membawakan watak bukan fiksyen lebih-lebih lagi tokoh itu merupakan bekas pemimpin negara yang disegani ramai.

Itulah cabaran dihadapi dua aktor berbakat besar, Rusdi Ramli dan Zizan Nin dalam filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Tanda Putera.

Jika Rusdi diberi kepercayaan membawa watak perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, peranan Zizan sebagai timbalan perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Dr Ismail juga tidak kurang pentingnya.

Bagi Rusdi sendiri, dia tidak menafikan tertekan untuk membawakan watak itu lebih-lebih lagi Tun Abdul Razak merupakan bapa kepada Perdana Menteri kini, Datuk Seri Najib.

Bagaimanapun, anak kepada aktres veteran, Norlia Ghani ini sedaya upaya merealisasikan watak itu dengan karakter sebenar tokoh ternama tersebut.

“Jika diikutkan, tidak banyak maklumat mengenai Allahyarham daripada segi peribadi seperti gaya bercakap dan sebagainya.

“Untuk mendalami karakter beliau, saya banyak merujuk kepada bahan yang diberi pihak produksi dan footage dalam simpanan arkib,” katanya yang mengakui sebak ketika mengunjungi kediaman Tun Abdul Razak sebelum penggambaran.

Bukan saja aspek penghayatan, dia juga sanggup mengorbankan penampilannya sepanjang dua bulan penggambaran. Saya sedih kerana perlu botakkan kepala dan berpenampilan sebegini untuk dua bulan.

“Secara peribadinya, saya masih belum berpuas hati dengan lakonan saya dalam filem ini. Bagaimanapun, saya telah memberi yang terbaik dan semoga penonton dapat menghayati pengorbanan Allahyarham,” katanya.


Arwah muncul dalam mimpi

Sementara itu, Zizan pula mengakui terpaksa berfikir banyak kali sebelum menerima watak sebagai Tun Dr Ismail.

“Watak dan naskhah ini sangat berat, saya khuatir tidak dapat laksanakan seperti diingini pengarah.

“Bagaimanapun, dengan keyakinan pihak pengurusan membawakan watak ini akhirnya saya terima,” katanya.

Seperti Rusdi, Zizan juga berdepan dengan masalah kekurangan rujukan dan footage mengenai Tun Dr Ismail.

“Saya terpaksa ke Perpustakaan Negara untuk mendapatkan bahan bacaan mengenai Allahyarham bagi lebih memahami keperibadiannya.

“Apa pun, saya beruntung kerana berpeluang bertemu dengan anak Allahyarham, Tawfik yang banyak beri maklumat berkaitan bapanya,” katanya.

Selain perlu belajar main golf dan membiasakan diri menggunakan tangan kiri seperti kebiasaan Tun Dr Ismail, ada peristiwa yang tidak mungkin dilupakan Zizan sepanjang penggambaran.

“Allahyarham pernah muncul dalam mimpi saya sebanyak tiga kali dan seolah-olah berdiri di hujung penjuru memerhatikan saya berlakon.

“Saya sempat memerhatikan karakter beliau dalam mimpi itu dan membawanya ke dalam filem,” ujarnya.