Memiliki rupa paras kacukan Inggeris Melayu adalah satu kelebihan buat Siti Saleha Mohd Baharum atau lebih dikenali sebagai Siti Saleha untuk terus kekal dalam industri lakonan.
Tidak pernah bergantung pada kelebihan itu, adik kepada penyanyi, Sam Bunkface ini terus berusaha keras memastikan bakat dan kebolehannya dalam bidang lakonan mendapat perhatian pelbagai pihak, terutamanya pengarah dan penerbit tempatan.
Ia terbukti apabila lakonannya menerusi drama bersiri Nora Elena yang turut digandingkan bersama aktor popular, Aaron Aziz telah mendapat sambutan hangat daripada penonton dan sejak itulah namanya semakin mendapat perhatian umum.
Keberkesanan lakonan menerusi drama popular itu ternyata memberi kesan terhadap pencapaian kariernya sehinggakan dia kini dihujani pelbagai tawaran lakonan.
Bersyukur dengan rezeki yang ada, pelakon yang lebih mesra dipanggil Saleha ini mengatakan pencapaian yang dimilikinya hari ini adalah hasil usaha kerasnya yang terlalu meminati bidang lakonan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang tidak pernah putus ini. Saya gembira orang ramai dapat menilai dengan baik bakat dan kebolehan saya dalam bidang lakonan.
"Oleh kerana saya terlalu minat dengan karier ini, saya tidak akan berputus asa untuk membawa nama dan bakat ke peringkat yang lebih baik," katanya penuh semangat.
Menyentuh mengenai perkembangan terbaru karier lakonannya, Saleha mengakui tahun ini dirinya lebih memberi fokus terhadap tawaran lakonan filem.
"Saya tahu ada di kalangan peminat mula merindui kemunculan saya dalam drama televisyen, namun saya ada sasaran, di mana tahun ini saya mahu beri perhatian terhadap tawaran filem.
"Sejak awal tahun lagi, saya kerap menerima tawaran filem dan saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang datang demi kebaikan karier saya," katanya.
Selain bakal muncul dengan telefilem raya, Shawal, Aidil dan Fitri di TV Alhijrah, Saleha turut membintangi telefilem TV9, Aku, Dia Dan Tong Sampah serta Bila Kerbau Bunting Berkubang yang bakal disiarkan di saluran Astro.
Bersama pemain bolak sepak?
Tidak lari daripada persoalan cintanya bersama penjaga gol pasukan Sabah, Syed Adney, pelakon berusia 22 tahun ini, mulanya enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
Menurut Saleha, ia terlalu peribadi untuk dikongsikan bersama orang ramai. Bagaimanapun, apabila sering diasak pertanyaan sama, Saleha akhirnya membuka mulut.
"Saya tidak bercinta dengan dia dan sekarang saya single. Bagaimanapun kami masih lagi berkawan seperti biasa.
"Semuanya telah berlalu dan apa yang penting sekarang ini adalah karier saya dalam bidang lakonan. Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki dalam setiap lakonan saya untuk menjadi yang lebih baik," katanya.
Berbuka di lokasi
Berkongsi rutinnya di bulan Ramadan, Saleha yang sibuk jalani penggambaran beberapa buah telefilem tetap menjalani ibadah puasa.
Mengakui cabaran yang dilalui agak berat, namun ia tidak membatasi dirinya untuk beri yang terbaik dalam lakonannya.
"Walaupun puasa, saya masih jalani karier seperti biasa dan kadangkala terpaksa berbuka di lokasi. Tapi itu semua tidak beri masalah besar buat saya.
"Berbuka di lokasi bersama krew penggambaran juga lebih meriah. Kalau ada bazar terdekat, kami akan pergi dan berbuka di lokasi bersama," katanya.
Bertanya mengenai persiapan hari raya, Saleha berkata, tahun ini dia lebih bersederhana.
"Seperti tahun-tahun lalu, persiapan raya saya sederhana saja. Lagi pun masih ada baju-baju tahun lalu yang boleh dipakai lagi.
"Lainlah zaman kanak-kanak dahulu. Kalau boleh semua persiapan mahu yang baru," katanya.
No comments:
Post a Comment