2000s
Sila LIKE semua button dibawah untuk terus membaca. TQ :)
24 Jan 2012
Afiq Hakim kini ketagih berlakon
BUKAN hanya merencanakan album perdana, kerancakan kerjaya seni, Afiq Akim Ahmad (Akim), 21, bakal berganda dengan kemunculan sulung di layar perak menerusi filem Hooray Hooray dijangka melewati pawagam sekitar penghujung tahun ini.
Sejak pembabitannya menerusi filem arahan Saw Teong Hin pada tahun lalu yang turut dibintangi Kilafairy, Akim merasakan sudah tiba masanya dia bergiat aktif dalam bidang lakonan demi menggilap satu lagi kebolehan dalam cabang seni.
“Memang rasa ketagih nak berlakon lagi. Meskipun proses penggambaran cukup memenatkan. saya tetap seronok dan puas menjayakannya. Saya rasa sudah tiba masanya saya mengembangkan satu lagi cabang seni daripada terikat dengan nyanyian saja.
“Dulu saya tak pernah terfikir mahu jadi pelakon tapi selepas terbabit dalam drama Kau Dan Aku serta filem Hoore! Hoore! saya mula merasakan sebenarnya banyak perkara lagi yang boleh saya cuba.
“Memperbaiki sesuatu persembahan itu adalah perkara yang saya sering titik beratkan dalam kerja saya. Proses memperbaiki diri hanya boleh dilakukan menerusi hasil kerja akan datang manakala setiap kelemahan sebelumnya saya jadikan iktibar,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai Hoore! Hoore! yang mengenengahkan genre romantik komedi serta elemen muzikal berdasarkan lagu-lagu popular Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, ia menceritakan Johari lelaki budiman yang jatuh cinta dengan seorang gadis berbadan gempal, Nurul Aiman (bakat baru Nurfarah Nazirah) dan itulah yang menjadi inti pati keindahan filem ini.
“Selalunya tidak kira sama ada drama mahupun filem, kita mesti membayangkan seorang lelaki jatuh kepada cinta kepada seorang wanita cantik. Dalam dunia realiti pun memang setiap lelaki impikan teman wanita yang langsing dan cantik tapi masih ramai yang tidak memandang paras rupa.
“Berlainan Hoore! Hoore! kerana Teong Hin mahu mengangkat percintaan lelaki dan gadis kebanyakan yang berlaku dalam dunia realiti kita. Cinta itu milik semua orang dan pernah tidak terbatas buat golongan tertentu saja. Inilah yang jarang ditekankan drama atau filem.
“Johari tertarik pada Nurul Aiman kerana budi bahasanya kerana itu dia tidak memandang soal fizikal walaupun ada gadis cantik, Rita cuba menagih cinta Johari. Rita watak yang dilakonkan Kilafairy menjadi penghalang kepada hubungan Johari dan Aiman namun apakah pengakhiran hubungan mereka? Kita kenalah tonton filem ini nanti.
“Satu lagi tarikan yang menarik, Hoore! Hoore! berbentuk muzikal dan saya sendiri menyanyikan tiga lagu di dalamnya. Walaupun saya seorang penyanyi ternyata apabila perlu menyanyi dan berlakon pada satu masa, ia bukannya tugas yang mudah,” katanya.
Selain itu, Akim beritahu untuk filem itu dia turut merakamkan tiga lagu nyanyian Sudirman.
Biar minat lakonan mula bercambah, namun keutamaan pemuda berbintang Capricorn ini tetap kukuh kepada bidang nyanyian. Tahun ini, Akim bakal meraikan kemunculan album sulung yang memuatkan sembilan lagu dan sebahagian daripadanya adalah hit terdahulu seperti Bengang, Inilah Cinta dan Janji.
Bagaimanapun, susunan muzik untuk dua daripada lagu itu diubah sedikit.
Sentuhan untuk Bengang misalannya memasukkan elemen orkestra manakala Inilah Cinta secara ‘unplugged’.
“Menerusi album ini saya turut menghasilkan sebuah lagu berjudul Menunggu juga sekuel kepada lagu Janji. Penciptaan secara keseluruhan turut membabitkan Audi Mok yang mempertaruhkan Tentang Dia, Dunia dan Syurga oleh Omar K, Milikmu dan Mesti Ada Cinta (Kunci Demak) serta Daya Cinta, sebuah lagu balada dan paling saya suka.
“Untuk pengetahuan ramai, Mesti Ada Cinta sebenarnya adalah lagu duet saya bersama Fiq Mentor . Sentuhannya lebih kepada rock dan mengapa saya memilih Fiq untuk berpadu suara ini kerana saya tertarik dengan vokalnya sewaktu menyaksikan persembahan Fiq dengan Mirwana menyampaikan lagu Manifestasi Cinta pada satu acara, baru-baru ini.
Dijolok soalan bersifat peribadi mengenai hubungannya dengan Stacy yang khabarnya sudah berakhir, Akim ringkas memberi jawapan bahawa mereka tidak pernah putus hubungan kerana mereka tetap berkawan baik.
“Bagaimana saya harus mengiyakan berita ini sedangkan kami tidak pernah bercinta. Saya akui Stacy antara rakan wanita yang rapat dengan saya dan kami saling mengambil berat antara satu sama lain,” katanya.
Labels:
Artis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment