nak menang iPhone 5S dan 5C? Klik banner dibawah ini :

24 Jan 2012

'Nak tunggu aku mati baru kau nak lipat' - Allahyarham Izwan Pilus



ARIL memberi penghormatan terakhir dengan menyiram air mawar di pusara Izwan yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelembang, Gubah, Jasin Melaka pada Sabtu lalu.


"BILA lagi kau ni nak pandai lipat baju? Nak tunggu aku mati baru kau nak lipat." Itulah antara tutur kata yang paling diingati oleh Khairul Azam Pilus, 27, atau Aril AF7 kira-kira dua minggu sebelum abangnya, Khairil Izwan Pilus, 33, atau nama pentasnya Izwan Pilus menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 20 Januari 2012.

Petang Jumaat lalu, penyanyi Izwan Pilus disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang akibat jangkitan kencing tikus dan jangkitan kuman dalam darah (Sepsis) yang serius.

Menurut Aril, pada malam sebelum penyanyi berkenaan menghembuskan nafas terakhir, dia melihat keadaan arwah abangnya berada dalam keadaan yang sangat letih dan tercungap-cungap.

"Apabila melihat keadaannya seperti orang yang tidak sihat, saya menyuruhnya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setelah dipujuk, akhirnya barulah dia bersetuju untuk pergi ke hospital."

Menganggap Izwan hanya demam biasa, keadaan menjadi sebaliknya apabila Izwan diserang sawan dan nazak.

Setelah beberapa jam mendapatkan rawatan, Izwan akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang hari yang sama sewaktu hendak dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Antara yang berada di samping Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir adalah ibu bapanya, Normah Abdullah (ibu), Pilus Mohd. Jani (ayah), Aril, Khirul Aida (kakak), Nurul Nabilah (adik bongsu) serta saudara-maranya serta beberapa rakan baik.

Jenazahnya kemudian telah dibawa pulang ke Melaka dan dikebumikan berhampiran kubur arwah datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelembang, Gubah, Jasin, Melaka, pada hari Sabtu (21 Januari 2012).

Mengenai perubahan sikap yang berlaku ke atas arwah sebelum meninggal dunia, Aril memberitahu, tiada sebarang perubahan yang kelihatan kecuali sebuah khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh arwah empat hari yang lalu.

"Antara kandungan pesanan yang dihantar kepada saya, arwah memberitahu yang dia sangat sayangkan saya dan meminta supaya menjaga ahli keluarga yang lain terutamanya ibu dan ayah," ujarnya.

Ditanya tentang karakter arwah sebagai seorang abang, Aril menyifatkan Izwan adalah seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab, namun kurang meluahkan isi hati sekiranya mempunyai sebarang masalah.

Ujarnya, sebagai anak lelaki sulung arwah sememangnya individu yang paling banyak menyelesaikan sebarang urusan keluarga dan lebih mengutamakan adik-beradik berbanding diri sendiri.

"Sekarang, arwah abang pun sudah pergi buat selama-lamanya dan tinggal saya seorang sahaja anak lelaki dalam keluarga," jelasnya dalam keadaan sebak.

Khairul Izwan Pilus atau lebih dikenali sebagai Izwan Pilus sepanjang menjadi anak seni telah dilahirkan pada 24 November 1979 di Hospital Universiti Kuala Lumpur.

Mengenai perjalanan karier seni, anak kedua dari empat beradik ini terlebih dahulu berkecimpung dalam bidang nyanyian setelah muncul sebagai finalis Bintang RTM pada tahun 2004.

Sepanjang bergelar penyanyi, arwah telah membawa pelbagai jenis genre muzik iaitu Pop, R&B, Irama Malaysia dan Balada serta beberapa lagunya seperti Indah Lelapku dan Kembali Senyum.

Selain bergelar seorang penyanyi, arwah juga turut dikenali sebagai seorang pengacara televisyen dan kali terakhir dia menjadi pengacara menerusi rancangan berjudul Racik-Racik Herba untuk siaran RTM 1 pada bulan Oktober lalu.

Menariknya, arwah merupakan antara barisan artis tempatan yang mempunyai pendidikan tinggi. Izwan adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pelancongan dari Universiti Utara Malaysia.



Persamaan


Kehilangan Allahyarham Izwan Pilus ternyata turut dirasai oleh sebilangan rakan-rakan artis yang telah menziarahi arwah di hospital sebaik sahaja mendapat berita pemergiannya melalui khidmat pesanan ringkas dan laman sosial.

Antara artis yang menziarahi arwah buat kali terakhir seperti Amy Search, Fizo Omar, Farahwahida, Zed Zaidi, Lan Kristal, Bob AF, Roslan Shah, Reza AF dan Kenchana Dewi.

Salah seorang penyanyi yang rapat dengan arwah iaitu Farahwahida berkata, mereka berdua kali terakhir bertemu ketika sama-sama membuat persembahan di Putrajaya sempena sambutan Tahun Baru 2012.

"Hubungan kami agak rapat dan sering membuat persembahan bersama. Malah, saya sudah mengenalinya sejak dia menyertai Bintang RTM lagi.

"Apa yang menariknya, kami berdua turut mempunyai persamaan apabila nama ibu kami sama iaitu Normah dan salah seorang adik saya mempunyai wajah yang seiras dengannya," jelasnya.

Menurut Farahwahida, dia menganggap arwah adalah seorang penyanyi yang memiliki bakat besar, tetapi jarang diberi peluang untuk melebarkan bakatnya itu untuk berdiri sebaris dengan penyanyi popular yang lain.- RONI HIDAYAT

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...