SUDAH sembilan bulan pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 28, menjadi penyampai radio di Suria FM. Mengikat kontrak selama setahun dengan stesen radio popular itu, Nabil mengakui semakin seronok dengan kerja dan persekitaran di sana.
Masih berbaki tiga bulan menjadi penyampai radio Suria FM, khabarnya Nabil meraih tawaran daripada sebuah stesen televisyen berbayar popular untuk mendapatkan khidmatnya.
Khabarnya Nabil meraih tawaran yang lumayan daripada stesen TV berbayar yang sebelum ini pernah menggunakan khidmat beberapa selebriti popular tanah air secara eksklusif untuk mereka.
Kosmo! yang berpeluang bersua dengan Nabil selepas sidang akhbar pengumuman konsert kemuncak Suria FM 2012 di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur kelmarin, tidak melepaskan peluang bertanyakan tentang isu tersebut kepadanya.
Benarkah Nabil meraih tawaran daripada sebuah stesen TV berbayar?
Ya, baru-baru ini saya ada menerima tawaran daripada sebuah stesen televisyen berbayar. Dalam tawaran tersebut, mereka telah merangka program-program menarik buat saya.
Jadi anda bersetuju dengan tawaran tersebut atau ada pertembungan dengan jadual anda di konti Suria FM?
Walaupun waktu ke udara saya di Suria FM hanya dari pukul 6 hingga 10 pagi, tetapi pihak stesen TV tersebut sudah menyusun jadual aktiviti saya selama setahun dengan padat. Jujurnya, saya hanya boleh memilih salah satu sahaja daripada kerjaya ini iaitu sama ada meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio Suria FM atau bersama stesen TV tersebut.
Adakah anda sudah membuat keputusan untuk menerima tawaran daripada stesen TV tersebut?
Saya masih dalam dilema tidak tahu untuk memilih yang mana satu. Saya akui sangat suka bekerja bersama Suria FM dan dalam masa yang sama suka dengan persekitaran kerja di sana. Malah, saya juga mempunyai banyak masa bersama keluarga. Cuma, sejak menjadi penyampai radio, harus saya akui, saya sangat kurang menerima tawaran untuk menjayakan program mahupun ditawarkan menjadi pelakon untuk sesebuah drama dalam mana-mana stesen TV. Jika adapun, sekadar watak cameo untuk sesebuah drama.
Kenapa boleh jadi begitu? Adakah Suria FM menyekat untuk anda menerima tawaran kerja tersebut?
Tidak. Suria FM tidak pernah menyekat untuk saya menerima tawaran daripada mana-mana stesen TV. Cuma, pihak stesen TV yang tidak menjemput saya melakukan program atau drama. Mungkin masa penggambaran yang ingin dilakukan bertindih dengan masa saya ke udara di konti.
Apakah kelebihannya jika anda menerima tawaran daripada stesen TV tersebut? Adakah bayarannya lumayan?
Memang saya akui bayaran yang ditawarkan oleh stesen TV berbayar itu agak lumayan tetapi bayaran yang saya terima sebagai penyampai radio di Suria FM juga sudah mampu untuk menampung keperluan kami sekeluarga. Saya sebenarnya rindu dan suka untuk tampil di kaca TV. Malah, bagi saya televisyen ibarat iklan untuk saya mendapat lebih banyak tawaran kerja yang lain.
Jadi, adakah anda takut populariti merudum jika tidak muncul di kaca TV?
Tidak. Sejak saya bersama Suria FM nama saya semakin dikenali dalam kalangan pendengar pula. Cuma, saya takut jika terlalu lama tidak muncul di kaca TV orang akan lupa.
Mungkinkah anda akan menerima tawaran daripada stesen TV tersebut?
Saya difahamkan jadual yang diatur oleh pihak stesen TV itu sangat padat. Saya kena fikirkan juga tentang masa dengan keluarga. Lagipun tidak lama lagi saya akan menjadi ayah. Masa dengan keluarga juga penting. Saya betul-betul tidak tahu yang mana satu harus dipilih.
Apakah pula perkembangan terbaharu karier Nabil dalam bidang lawak jenaka?
Semua sedia maklum saya akan menyertai kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik. Penampilan kami buat pertama kalinya dapat ditonton oleh peminat pada persembahan Lawak Ke Der di Istana Budaya yang akan bermula pada 28 September hingga 3 Oktober ini.
-kosmo
No comments:
Post a Comment