IMPIAN untuk bergelar bintang K-pop semakin hampir buat Nur Shazreen Sharupidin dan Khairul Najmuddin Abu Samah, apabila kedua-dua mereka terpilih sebagai pemenang pertandingan tvN K-pop Star Hunt musim kedua yang diadakan di pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mereka terpilih sebagai wakil Malaysia daripada ribuan peserta yang menghantar video uji bakat tarian dan nyanyian serta 150 orang peserta yang layak membuat persembahan di hadapan juri.
Meskipun menampilkan persembahan yang menarik dalam uji bakat di Malaysia, juara Shazreen dan pemenang tempat kedua, Khairul belum tentu dinobatkan sebagai pemenang kerana mereka berdua terpaksa bersaing dengan peserta dari lapan negara Asia yang lain seperti Thailand, Singapura, Filipina, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Vietnam dalam uji bakat akhir yang akan berlangsung di Korea Selatan tidak lama lagi.
“Saya sangat gementar sebelum melakukan persembahan kerana saingannya cukup sengit. Namun, sebaik sahaja berdiri di atas pentas, saya melakukan persembahan sebaik mungkin.
“Saya memang mahu menjadi seorang penyanyi. Terima kasih kepada tvN kerana memberi saya peluang keemasan ini. Walaupun belum tahu nasib pada uji bakat akhir, saya berjanji untuk memberikan persembahan terbaik demi nama Malaysia dan juga diri sendiri,” kata Shazreen.
Shazreen yang menyanyikan lagu Baby Steps nyanyian asal Taetiseo berjaya memukau juri termasuk juri daripada agensi rakaman terkenal Korea Selatan, Cube Entertainment iaitu Park Jae-hyun yang telah mencungkil bakat ramai artis terkenal Korea seperti Super Junior, Wonder Girls, 2PM, 2AM, Beast, TVXQ dan 4Minute.
“Lima saat peserta berdiri di depan saya dan mula menyanyi, saya sudah tahu dia seorang bintang atau tidak. Paling utama mereka harus berbakat dalam nyanyian dan tarian. Rupa paras juga satu kemestian dalam industri hiburan.
“Dua peserta yang dipilih mempunyai bakat tersendiri dan saya harap mereka dapat memberi saingan sengit kepada peserta negara lain pada uji bakat akhir,” kata Jae-hyun.
Tidak ketinggalan, seorang lagi pemenang, Khairul bukan sahaja berjaya menarik perhatian juri, tetapi juga penonton yang hadir dengan persembahan bertenaganya menerusi lagu popular, Grenade dendangan asal penyanyi Bruno Mars.
“Memang saya takut sebelum naik ke atas pentas, tetapi disebabkan ini merupakan impian saya, perasaan takut itu hilang apabila persembahan bermula
“Semua peserta yang hadir mempunyai bakat besar, terima kasih kepada mereka yang menggalakkan saya untuk menyertai pertandingan ini sehingga saya dapat mewakili Malaysia. Peluang seperti ini tidak akan datang banyak kali, jadi saya rasa sangat bertuah,” ujar Khairul.
Pemenang pertandingan tvN K-pop Star Hunt musim kedua akan menerima kontrak sebagai pelatih di bawah agensi terkenal CJ E&M dan Cube Entertainment, penerbitan album serta membuat persembahan pada anugerah MAMA 2013 yang merupakan sebuah anugerah muzik berprestij di Korea Selatan bersama penyanyi seperti G.Na dan 4 Minute.
Pertandingan tvN K-pop Star Hunt musim kedua boleh disaksikan di tvN HD, HyppTV saluran 181. HyppTV merupakan perkhidmatan IPTV terbaharu yang dibekalkan oleh Telekom Malaysia.
-kosmoi
No comments:
Post a Comment