SUKAR mengikis label ikon pasangan suami isteri paling secocok dan ideal daripada merpati dua sejoli, Vanidah Imran (Vee) dan Rashidi Ishak (Shidi).
Hal yang bukan sahaja diakui oleh peminat mereka, malah ada juga rakan selebriti yang menjadikan perkahwinan yang dibina pasangan itu sebagai model sebuah ikatan yang sukses.
Melihat ikatan perkahwinan sebagai sebuah persetujuan untuk berkompromi terhadap pelbagai isu, Rashidi, 40, mengakui setiap perhubungan ada pasang surutnya.
"Persengketaan atau pertelingkahan dalam sesebuah hubungan pasti akan timbul dan apabila perkara itu berlaku, hala tujunya bergantung kepada setiap pasangan.
"Sebaik-baiknya fikirkan penyelesaian yang mudah dan ke arah lebih baik," kongsi bapa kepada dua cahaya mata Mikail Aimran, 9, dan Mariyam Rashika, 8, itu.
Tambah Shidi, krisis rumah tangga yang dipaparkan di layar kaca atau layar perak turut terjadi dalam kehidupan seharian seperti mana artis.
Cuma perkara pokok adalah keputusan yang bakal dipilih oleh kedua-dua pihak (suami dan isteri).
Sentiasa bercinta
Bergandingan dengan isterinya yang pernah meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) dalam filem Untuk Tiga Hari, Shidi mengakui dirinya berdepan dengan perasaan gemuruh.
Sementelah, ini merupakan kali pertama dia dan Vee digandingkan sebagai pasangan kekasih dalam sebuah filem yang sama.
"Apabila berada dalam set penggambaran, masing-masing membawa haluan sendiri dan fokus kepada watak yang akan dilakonkan. Ia dilakukan atas dasar profesionalisme.
"Bonus apabila kami digandingkan bersama dalam sesebuah naskhah, saya lihat dari sudut perbincangan ekstra selepas habis bekerja. Malah latihan juga boleh dibuat di luar waktu kerja," tuturnya mengenai filem arahan Afdlin Shauki yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok, 20 September ini.
Menerusi filem yang diadaptasi daripada novel terkenal tulisan Ahadiat Akashah, bekas anggota kumpulan Dead Mushroom itu membawa peranan Zafrin, seorang lelaki yang sentiasa mengikut telunjuk ibunya termasuk perhubungan cinta.
Hubungan Zafrin dan Ujie (lakonan Vee) berada di persimpangan dilema apabila mereka terpaksa melupakan cinta untuk berkahwin dengan calon pilihan keluarga.
Zafrin mengahwini Juwita (Ayu Raudhah) dan Ujie berkahwin dengan Armi (Afdlin Shauki), seorang lelaki kaya yang romantik.
Bagi membuktikan cinta sejati mereka, Zafrin dan Ujie berjanji meneruskan juga perkahwinan aturan keluarga itu, tetapi akan berusaha bercerai setelah tiga hari berkahwin.
Namun, setelah mereka mengharungi tiga hari dalam alam perkahwinan, pelbagai perasaan telah muncul dan timbul kesedaran bahawa mereka seolah-olah bermain dengan jodoh yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
"Saya sentiasa bercinta dengan isteri saya, apabila ditawarkan watak ini saya sangat teruja dan dalam hati sentiasa mengidamkan untuk berlakon dengan dia (Vee)," ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar dan pratonton filem tersebut di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kejutan untuk Vee
Vee yang cukup dikenali sebagai seorang pelakon berbakat besar pula menegaskan dia tidak menduga digandingkan bersama suami sendiri untuk mendukung watak pasangan kekasih dalam filem.
"Saya diberitahu tentang projek filem ini setahun yang lalu dan ketika itu juga saya mencari novel tersebut untuk membuat ulang kaji. Tidak sangka pula saya diberikan watak utama.
"Lagi terperanjat apabila Afdlin mahukan Shidi sebagai kekasih saya yang sebelum ini tidak pernah ada orang ambil pasangan suami isteri untuk watak pasangan kekasih!
"Melakonkan watak kekasih perlu ada batasan dan jurang itu yang perlu kami bina supaya tidak boleh terlalu selesa apabila berlakon bersama," cerita Vanidah dari awal pembikinan filem itu.
Berpegang pada prinsip kerja adalah kerja, akui Vee, dia jarang meluangkan masa bersama Shidi sepanjang dalam set penggambaran. Dalam pada itu, dia selesa bekerja di bawah arahan Afdlin memandangkan pengarah itu melihat potensi seseorang pelakon yang pelakon itu sendiri tidak nampak.
"Afdlin suka menduga. Dia tahu saya seorang pelakon yang sentiasa mengawal lakonan saya, maka dia uji saya dengan sesuatu yang belum pernah saya lakukan.
"Kata Afdlin berseloroh, saya milik dia dalam set penggambaran dan apabila pulang ke rumah, saya milik Shidi," bicaranya santun.
-kosmo
-kosmo
No comments:
Post a Comment