Kereta api di India terbakar, 47 terbunuh
Gambar yang diperoleh menunjukkan sebahagian gerabak penumpang terbakar di selatan India.
 
HYDERABAD - Seramai 47 penumpang terbunuh apabila kereta api yang dinaiki mereka secara tiba-tiba terbakar di selatan India, hari ini.

Menurut pengendali syarikat kereta api berkenaan, B. Sridhar sebanyak 28 mangsa yang cedera telah dimasukkan ke hospital berdekatan.

Pegawai kerajaan yang mengesahkan kejadian memberitahu, kejadian disedari oleh seorang pegawai apabila kereta api itu sedang melalui stesen kereta api di awal pagi.

Susulan itu, kereta api tersebut terpaksa dihentikan dan bertindak memisahkan gerabak yang terbakar daripada gerabak-gerabak yang lain bagi menghalang api merebak.

Insiden kebakaran kereta api itu berlaku di bandar Nellore, selatan Hyderabad dan dipercayai akibat litar pintas pada gerabak itu.