London – Penganjur temasya Olimpik London 2012 telah mengenal pasti seorang wanita yang berjaya menyelit masuk ke dalam kontinjen India dan turut sama berarak pada upacara pembukaan sukan berkenaan.
“Walaupun dia tidak memberikan ancaman kepada kontinjen India namun perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dan kita akan menyiasat perkara tersebut,’’ kata penganjur dalam satu kenyataan.
Identiti wanita itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Pada upacara pembukaan tersebut, wanita misteri itu yang memakai baju kemeja bewarna merah dan seluar biru, berada di depan, di sebelah pembawa bendera iaitu ahli gusti, Sushil Kumar.
Kelibatnya menjadi tumpuan kerana pakaian yang dipakainya berbeza dengan pakaian seragam pasukan India.
Insiden tersebut membangkitkan kemarahan pegawai Olimpik India.
Menurut pemangku chef de mission, PK Muralidharan Raja, pihaknya memandang serius perkara itu.
“Kami tidak mengenalinya dan kenapa dia dibenarkan berjalan bersama atlet India.
“Atlet India hanya muncul 10 saat sahaja dalam liputan televisyen, namun adalah menyedihkan apabila kamera memfokuskan kepada wanita tersebut, bukan atlet yang mengambil bahagian.
“Dia telah mengalihkan tumpuan kepada atlet India,’’ katanya.
Jelasnya, anggota kontinjen juga amat terkejut bagaimana wanita itu boleh menyelit di sebalik 40 atlet dan 11 pegawai ketika perarakan berlangsung.
Negara Asia Selatan itu menghantar 84 atlet yang akan menyertai 13 acara sukan termasuk hoki, pingpong, angkat berat, menembak dan badminton.
No comments:
Post a Comment